Wednesday, May 15, 2013

UCAPAN TAHNIAH KEPADA KM DAN BARISAN EXCO NEGERI MELAKA



Saya selaku Adun Bukit Baru mengucapkan tahniah di atas pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, YAB Datuk Idris Haron selaku Ketua Menteri Melaka yang baru menggantikan Datuk Seri Mohd Ali Rustam Selasa lalu.

Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Exco Kerajaan Negeri yang baru dilantik bersama-sama dengan Timbalan Exco masing-masing.

Rakyat  berharap YAB Datuk Idris dan barisan Exconya dapat memenuhi hasrat rakyat Melaka seluruhnya untuk mentadbir negeri ini dengan prinsip keadilan, telus dan mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Selaku Adun PAS dan Pakatan Rakyat saya sendiri bersedia untuk memberikan kerjasama bagi memenuhi hasrat tersebut.

Semoga YAB Ketua Menteri dan barisan Exco akan dapat memainkan peranan dengan sebaiknya dan memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat Melaka tanpa mengira apa juga fahaman politik

Saya mencadangkan supaya kerajaan negeri memberikan keadilan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dengan memberikan peruntukan khas kepada mereka tanpa mengira parti yang  mereka wakili.

Sebelum ini saya difahamkan hanya Adun BN sahaja yang mendapat peruntukan dari kerajaan negeri manakala Adun pembangkang langsung tidak mendapat peruntukan tersebut. Sebagai sebuah kerajaan yang adil dan telus diharapkan kerajaan Melaka yang baru tidak mengulangi kesilapan kerajaan negeri sebelum ini

Apa penting sekarang ialah YAB Ketua Menteri dan Kerajaan negeri mesti mencari jalan bagi mengurangkan bebanan rakyat khusus dalam isu kenaikan harga barang dan caj perkhidmatan, meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, pendidikan anak-anak, sistem pengurusan zakat, hal ehwal pentadbiran agama Islam dan sebagainya.


Saya mencadangkan YAB Ketua Menteri Melaka dapat mengamalkan sifat terbuka dan adil kepada semua rakyat khususnya dalam pentadbiran institusi masyarakat seperti Jawatan Kuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Masjid dan Surau dan lain-lain. 

Bantuan-bantuan kebajikan juga mesti diagihkan dengan adil dan saksama kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik dan warna kulit.

Tahniah dan Selamat Menjalankan Tugas kepada YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron.

Dr Md Khalid Kassim
Adun Bukit Baru

No comments:

Post a Comment