Thursday, May 16, 2013

SOKONG KM DAN EXCO MELAKA ISYTIHAR HARTA


Saya menyokong penuh cadangan Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron untuk mengarahkan semua Exco-Exco kerajaan negeri mengisytiharkan harta masing-masing. Ia suatu tindakan yang baik dan wajar disokong oleh semua rakyat. 

Malah ianya sejajar dengan manifesto Pakatan Rakyat Negeri Melaka yang jelas menyatakan bahawa Ketua Menteri, barisan Exco dan Adun-Adun mesti mengisytiharkan harta masing-masing jika PR mendapat mandat memerintah Melaka tempohari.


Cuma kita harap Ketua Menteri dan Exco-Exco mengisytihar harta masing-masing kepada umum supaya rakyat dapat menilai samada pemilikan harta mereka itu setimpal dengan elaun mereka. 

Sebelum ini memang ada kerajaan negeri BN mewajibkan Exco-Exco mereka mengisyiharkan harta, tetapi mereka isytihar harta di kalangan mereka sahaja bukan kepada umum. 

Apa guna isytihar harta di kalangan mereka, apa yang penting ialah rakyat mahu tahu samada harta itu diperolehi secara halal dan sah iaitu sesuai dengan kemampuan mereka. 

Rakyat sendiri mahu menilai dan mengkaji aset yang dipunyai oleh pemimpin, supaya mereka tahu siapa pemimpin yang bersih dan siapa yang terlibat dengan kontroversi dan penyalahgunaan kuasa serta rasuah.

Ayuh kepimpinan kerajaan Melaka jangan tunggu lama-lama, nanti rakyat semakin sangsi. 

Satu perkara lagi yang sangat penting jika ada mana-mana Exco-Exco dilihat mempunyai aset menggunung tinggi tidak setimpal dengan gaji dan elaun mereka, maka mereka ini mesti disiasat oleh SPRM dan dibawa ke muka pengadilan untuk didakwa di mahkamah. Jangan setakat isytihar harta selepas itu tiada susulan dan tindakan balas.

Pejabat Adun Bukit Baru
17 Mei 2013

No comments:

Post a Comment