Wednesday, May 22, 2013

BUKIT BARU : KEMENANGAN YANG MENYENTUH HATI PENYOKONG PAS MELAKA



Pusat Khidmat Adun Bukit Baru bersama PAS Melaka dan PAS Kawasan Bukit Katil akan mengadakan kenduri kesyukuran khusus untuk petugas-petugas PRU13 daripada PAS dan Pakatan Rakyat serta seluruh rakyat Melaka pada 24 Mei ini bermula jam 5.00 petang.

Kenduri itu akan diadakan di atas sebidang tanah lapang yang dinamakan Dataran Kebangkitan Rakyat yang terletak betul-betul di hadapan Dewan Tun Ali, Bukit Katil.

Adun Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim dalam kenyataannya berkata program tersebut amat besar maknanya kepada ahli dan penyokong PAS Melaka berikutan kejayaan PAS memenangi Dun Bukit Baru pada PRU13, 5 Mei lalu.

“Kita menang julung-julung kali dan ia amat menyentuh hati dan perasaan ahli PAS Melaka.

“Kita sudah berjuang lebih 50 tahun, baru sekarang Allah kurniakan kemenangan, sudah tentu kita ingin raikan nikmat Allah ini dengan rasa syukur dan gembira,” ujar Khalid yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Bukit Katil.

Katanya, PR telah menunjukkan kejayaan memberangsangkan pada PRU13 lalu, dan mempunyai peluang yang sangat cerah untuk menguasai negeri Melaka dan Putrajaya pada PRU14 nanti.

Menurutnya Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu akan bersama-sama dengan semua wakil rakyat PR Melaka dalam majlis kenduri tersebut.

Pada sebelah malam pula, di tempat yang sama akan diadakan Himpunan Black505 di mana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PR Melaka akan menyerikan himpunan aman tersebut.

Pada PRU13 baru-baru ini, Dr Mohd Khalid Kassim yang mengalahkan calon BN, Karim Yaakob dengan majoriti 48 undi. Khalid memperolehi 9,292 undi manakala Karim mendapat 9,244 undi.

Selain itu PR memenangi 6 Dun lain menerusi DAP iaitu Dun Duyong, Bandar Hilir, Kota Laksamana, Kesidang, Bachang dan Ayer Keroh. Manakala 2 kerusi Parlimen yang dimenangi PR ialah Kota Melaka (DAP) dan Bukit Katil (PKR).

No comments:

Post a Comment