Thursday, July 25, 2013

PROGRAM BANTUAN ANAK YATIM DAN FAKIR MISKIN 28 JULAI

Pusat Khidmat Masyarakat Adun Bukit Baru akan mengadakan program bantuan anak yatim dan fakir miskin pada 28 Julai 2013 pada jam 9.00 jam - 11.30 pagi bertempat di perkarangan Pusat Khidmat Adun Bukit Baru.

Program ini dijalankan bersama dengan Dewan Muslimat PAS Negeri dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil.

Kepada sesiapa yang berkesempatan dijemput hadir untuk memeriahkan program ini.

Wednesday, July 17, 2013

ADUN BUKIT BARU BERI SUMBANGAN DAN BANTUAN PADA MASJID DAN RAKYAT MISKIN

Bukit Baru : Sempena bulan Ramadhan yang mulia Adun Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim telah menjelajah Dun Bukit Baru bagi menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada masjid dan surau serta penduduk-penduduk yang kurang bernasib baik.

Setakat ini Dr Khalid telah menyampaikan sumbangan kepada 3 buah masjid iaitu Masjid Kg Bukit Katil, Masjid Saidina Ali Bukit Katil dan Masjid Bukit Baru. 

Beliau juga telah menghulur bantuan berupa barang makanan kepada beberapa penduduk di Taman Bukit Katil Permai dan Bukit Pulau. 

"Program sumbangan akan diteruskan di mana pihak kami akan menziarahi surau-surau di sekitar Dun Bukit Baru, pihak kami sangat berpuashati dengan sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat'

'Selain itu program bantuan untuk rakyat miskin, anak yatim dan sebagainya akan diaturkan sepanjang Ramadhan ini bagi meringankan sedikit beban mereka' ujar Dr Khalid.

Program bantuan dan sumbangan ini adalah antara program yang diaturkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Adun Bukit Baru sempena bulan Ramadhan dan ianya akan diteruskan dari masa ke semasa tidak hanya pada bulan Ramadhan. Selain dari program ini, beberapa program berbuka puasa, jelajah masjid dan surau dan sebagainya juga telah diatur oleh pihaknya.

Sementara itu Pegawai Media Pusat Khidmat Adun Bukit Baru, Haji Yassim Musa berkata pihaknya telah mengaturkan program lawatan rasmi bertemu dengan jabatan-jabatan kerajaan dan NGO.

'Pihak Pusat Khidmat Masyarakat Adun Bukit Baru juga akan mengaturkan beberapa program khusus seperti lawatan rasmi ke Jabatan-Jabatan Kerajaan, pertemuan dengan NGO dan sebagainya" 

'Hubungan yang berterusan dan akrab antara Adun, Jabatan kerajaan dan rakyat amat penting bagi memastikan semua masalah rakyat dapat dikenalpasti dan diselesaikan"ujar Hj Yassim yang juga merupakan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil.


Wednesday, May 22, 2013

BUKIT BARU : KEMENANGAN YANG MENYENTUH HATI PENYOKONG PAS MELAKA



Pusat Khidmat Adun Bukit Baru bersama PAS Melaka dan PAS Kawasan Bukit Katil akan mengadakan kenduri kesyukuran khusus untuk petugas-petugas PRU13 daripada PAS dan Pakatan Rakyat serta seluruh rakyat Melaka pada 24 Mei ini bermula jam 5.00 petang.

Kenduri itu akan diadakan di atas sebidang tanah lapang yang dinamakan Dataran Kebangkitan Rakyat yang terletak betul-betul di hadapan Dewan Tun Ali, Bukit Katil.

Adun Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim dalam kenyataannya berkata program tersebut amat besar maknanya kepada ahli dan penyokong PAS Melaka berikutan kejayaan PAS memenangi Dun Bukit Baru pada PRU13, 5 Mei lalu.

“Kita menang julung-julung kali dan ia amat menyentuh hati dan perasaan ahli PAS Melaka.

“Kita sudah berjuang lebih 50 tahun, baru sekarang Allah kurniakan kemenangan, sudah tentu kita ingin raikan nikmat Allah ini dengan rasa syukur dan gembira,” ujar Khalid yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Bukit Katil.

Katanya, PR telah menunjukkan kejayaan memberangsangkan pada PRU13 lalu, dan mempunyai peluang yang sangat cerah untuk menguasai negeri Melaka dan Putrajaya pada PRU14 nanti.

Menurutnya Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu akan bersama-sama dengan semua wakil rakyat PR Melaka dalam majlis kenduri tersebut.

Pada sebelah malam pula, di tempat yang sama akan diadakan Himpunan Black505 di mana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PR Melaka akan menyerikan himpunan aman tersebut.

Pada PRU13 baru-baru ini, Dr Mohd Khalid Kassim yang mengalahkan calon BN, Karim Yaakob dengan majoriti 48 undi. Khalid memperolehi 9,292 undi manakala Karim mendapat 9,244 undi.

Selain itu PR memenangi 6 Dun lain menerusi DAP iaitu Dun Duyong, Bandar Hilir, Kota Laksamana, Kesidang, Bachang dan Ayer Keroh. Manakala 2 kerusi Parlimen yang dimenangi PR ialah Kota Melaka (DAP) dan Bukit Katil (PKR).

Monday, May 20, 2013

MERAIKAN PENGANTIN DI PERINGGIT

Semalam saya sempat menghadiri jamuan perkahwinan saudara Tsabit Abu Bakar dan pasangannya. Sekembalinya saya dari lawatan dari Muar saya terus ke rumah beliau. Semoga perkahwinan beliau mendapat keberkatan dan kekal hingga ke akhir hayat.

Tsabit adalah adik kepada salah seorang pimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil iaitu Saudara Abu Khir Abu Bakar.

Tahniah sekali lagi dari saya sekeluarga.

Sunday, May 19, 2013

LAWATAN MUHIBBAH SAMBIL BELAJAR KE DUN SG ABONG


Hari ini saya dan Sekretariat Dun Bukit Baru membuat lawatan sambil belajar ke Dun Sungai Abong bertemu dengan YB Dr Sheikh Ibrahim di rumahnya.

Lawatan ini memberikan seribu makna dengan taklimat yang diberikan oleh YB Dr Sheikh Ibrahim dan beberapa orang pembantu beliau.  Rombongan saya telah mendapat layanan penuh ukhuwwah dan mendapat banyak info dan pengalaman berguna untuk direalisasikan di Pusat Khidmat Dun Bukit Baru.

Gambar : Kami bergambar kenangan di hadapan rumah YB Dr Sheikh Ibrahim (berbaju merah di sebelah saya).

Saturday, May 18, 2013

ZIARAH KEMATIAN AWAL PAGI TADI


Selepas menghadiri 3 kenduri kesyukuran PRU 13 malam tadi, saya sempat menziarahi keluarga (gambar atas)



Allahyarhamah Siti Aminah Ibrahim yang tinggal di Taman Indah Seksyen 2, Padang Jambu. Saya sampai kira-kira jam 12.00 tengah malam. Ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah semoga mereka redha dengan ketentuan Allah dan mendoakan roh Allahyarhamah di tempat bersama roh para anbia, syuhada dan solihin.


Saya juga sempat menziarahi Aminuddin Benu Amin (gambar bawah) di rumahnya. Beliau mengalami sakit kencing. Sempat memberikan nasihat tentang bagaimana mengawal penyakit tersebut dari kesihatan perubatan. Semoga beliau tabah dengan dugaan Allah dan sentiasa menjaga kesihatan beliau agar cepat sembuh.

Sakit adalah ujian Allah kepada hambanya. Insya Allah jika redha dan sentiasa bertaubat kepadaNya dosa kita akan diampunkan oleh Allah S.W.T.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE PUSAT KHIDMAT ADUN SG ABONG

Hari ini saya bersama beberapa orang sahabat membuat lawatan sambil belajar ke Pusat Khidmat Adun Sg Abong di Muar.

Insya Allah kami akan mempelajari selok-belok mereka mentadbir dan menguruskan pusat khidmat ini. Maklumat dan pengalaman yang kami perolehi akan kami praktikkan di Pusat Khidmat Adun Bukit Baru.

Sokongan dan bantuan dari sahabat dan rakan sekalian amat diharapkan. Terima kasih.